Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad.

KUALA LUMPUR – Jangan biarkan pisang berbuah dua kali.

Itu pandangan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mengenai pembukaan sekolah bermula September ini.

Kementerian Pendidikan (KPM), katanya, perlu memikirkan faktor dan kebimbangan kepada pelajar sekolah dibawah umur 18 tahun yang masih tidak menerima vaksin untuk hadir ke sekolah dengan situasi pandemik sekarang.

Ini kerana golongan pelajar berkenaan berisiko dijangkiti dan menjangkiti ahli keluarga mereka sebaik pulang dari sekolah sekaligus boleh menambahkan kebimbangan para ibu bapa.

“Anak-anak berpotensi membawa virus ini ke rumah masing -masing mungkin dapat dari rakan-rakan di sekolah dan membawa pulang virus tersebut ke rumah.

“Jika di rumah ada ahli keluarga mereka yang belum menerima vaksin ataupun golongan lebih tua serta mempunyai penyakit berisiko, maka akan menimbulkan lebih banyak masalah serta kebimbangan kepada pihak keluarga,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Anuar, walaupun kerajaan telah mengumumkan semua guru serta pekerja am sekolah akan menerima vaksinasi sepenuhnya dalam masa terdekat namun penyebaran virus kepada mereka yang sudah divaksin juga merisaukan.

Pelajar sekolah kebangsaan, Nur Iman Azzalea Mohd Fairus bersama adiknya, Nur Irdina Amni Mohd Fairus (kanan) mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan sekolah yang diarah tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Apartment Lakeview, Batu Caves, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2021.

Mengulas mengenai Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang telah dilaksanakan hampir setahun setengah, Anuar berkata, kebanyakan guru telah menambahbaik dan melakukan inovasi teknik pembelajaran secara maya.

Malah mereka juga dilihat telah mula mesra dan memahami penggunaan peralatan gajet dan ada dalam kalangan guru telah merancang PDPR bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan agar mempertimbangkan semula pembukaan sektor pendidikan pada September ini dan adalah lebih baik jika PDPR sahaja diteruskan berbanding hadir secara fizikal ke sekolah untuk tempoh lapan minggu.

Namun jika KPM masih ingin meneruskan hasrat tersebut, mereka perlu memikirkan langkah kesiapsagaan yang lebih baik.

Antaranya meneliti zon yang dibenarkan dibuka, prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikemaskini berbanding April lalu dan bagaimana KPM dapat memberi jaminan kepada ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak di sekolah.

Tindakan itu bagi mengelak berlaku kluster pendidikan dan mengundang pertambahan kes Covid-19 seperti yang pernah berlaku pada April lalu ketika sesi persekolahan kembali dibuka.

Lagipun, katanya, Varian Delta Covid-19 merebak dengan pantas.

“Keutamaan kita pada waktu ini adalah kesihatan rakyat dan jika ia dalam keadaan baik, boleh diurus dengan selesa dan keadaan di hospital juga tidak sesak seperti sekarang.

“Maka mungkin boleh fikirkan soal pendidikan ini perlu dibuka sebab dalam keadaan tidak kondusif, dalam keadaan tidak selamat itu juga satu yang tidak dianjurkan untuk diamalkan dalam keadaan kita sekarang ini,” katanya.

Semalam, jumlah kes baharu Covid -19 kembali mencatatkan pertambahan dengan 19,991 kes dan angka kematian pula masih tinggi iaitu 201 kes. – MalaysiaGazette