Datuk Seri Abd Jalil Hassan. Foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengesahkan satu laporan polis telah diterima mengenai penjualan sijil digital vaksinasi palsu.

Beliau berkata, aktiviti menyalahi undang-undang itu dikesan menerusi satu hantaran dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook yang menyatakan bahawa ‘sudah mula dijual di atas talian’.

Sehubungan itu, katanya, satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (memberikan maklumat palsu).

Menurut Abd Jalil, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain).

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin.

“Orang ramai turut diminta agar melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti ini,” tegas beliau.- MalaysiaGazette