Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling.

KANGAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan Gan Ay Ling hari ini memberitahu bahawa beliau telah disahkan positif COVID-19 pada Isnin (9 Ogos).

“Dengan dukacitanya, saya ingin mengumumkan bahawa saya telah disahkan positif COVID-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya pada Ahad beliau mendapat berita bahawa salah seorang penduduk yang ditemui minggu lepas disahkan positif COVID-19.

“Saya segera mengambil ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) di Klinik Kesihatan Gial pada Isnin dan keputusan ujian adalah positif,” katanya.

Beliau kini menjalani kuarantin di rumah seperti yang diarahkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kangar.

“Pusat Komuniti ADUN Indera Kayangan akan ditutup sementara ini, saya mohon maaf kepada semua atas kesulitan ini. Saya menyeru semua kontak rapat yang bertemu saya sejak tujuh hari lepas menjalani ujian saringan COVID-19 di klinik berdekatan,” katanya. – BERNAMA