KUALA LUMPUR – Jumlah kematian Covid-19 hari ini sekali lagi melepasi angka 300 dengan 318 kes dan menjadikan jumlah kesemua kematian meningkat kepada 11,691.
Kematian tertinggi sebelum ini adalah sebanyak 360 kes direkodkan pada 8 Ogos lalu
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian hari ini melibatkan 256 warganegara dan 62 bukan warganegara.
“Terdapat 237,021 kes aktif dengan 1,059 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 543 kes memerlukan bantuan pernafasan. Kes sembuh mencatatkan sebanyak 17,687 kes, menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 1,093,503 kes,” katanya di hantaran Facebook KKM di sini hari ini.
KKM turut mengesan 45 kluster baharu yang menjadikan 1,281 kluster masih aktif.
Negara mencatatkan kes baharu sebanyak 21,668 kes termasuk 58 kes import yang menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 1,342,215 kes.
Noor Hisham memberitahu, jumlah kes harian yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 440 kes atau 2.1 peratus adalah daripada kategori 3, 4 dan 5.
Jelas beliau, sebanyak 21,228 kes atau 97.9 peratus pula terdiri daripada kategori 1 dan 2 yang berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosa Covid-19.
“Ada di antara kes kekal dikategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, hanya 2,720 kes atau 12.6 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini telah lengkap di vaksinasi iaitu yang telah lengkap dua minggu selepas dos kedua vaksinasi,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: