Telefon bimbit dan senjata yang dirampas selepas polis memberkas 'Geng Acoi' baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan ‘Geng Acoi’ yang bergiat aktif menyamun mangsa di kawasan sunyi dengan menahan lapan individu termasuk seorang wanita di Selayang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamed Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima enam aduan berkaitan kes samun berkumpulan menggunakan senjata di sekitar daerah tersebut pada hujung Julai sehingga awal bulan ini.

Menurut beliau, suspek bertindak menakutkan mangsa yang ketika itu bersendirian di kawasan sunyi dengan menggunakan sebilah parang sebelum merampas barangan peribadi seperti dompet, beg galas, wang tunai serta telefon bimbit.

“Sehubungan itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan dan menahan kumpulan jenayah terbabit.

“Beberapa siri serbuan dijalankan di lima lokasi berbeza bermula 3 Ogos hingga 6 Ogos lalu.

“Menerusi serbuan tersebut, polis berjaya menangkap lapan warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 21 hingga 35 tahun,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara barangan yang dirampas selepas polis berjaya menumpaskan ‘Geng Acoi’ baru-baru ini.

Tambah Mohamed Farouk, tujuh suspek yang ditahan adalah penganggur manakala seorang lagi merupakan pekerja pendawaian.

Jelasnya, polis merampas 74 buah telefon bimbit pelbagai jenis dan tiga buah komputer riba dipercayai hasil samun.

“Selain itu, kita turut merampas tiga bilah parang, empat bilah pedang, dua bilah pisau lipat, tiga bilah pisau, sebilah kapak dan enam buah motosikal yang disyaki digunakan ketika melakukan kegiatan jenayah itu.

“Hasil semakan mendapati tujuh suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau dan narkotik manakala salah seorang daripadanya masih dikehendaki bagi kes narkotik dan komersial,” ujarnya.

Kata Mohamed Farouk, suspek direman selama seminggu dan ujian air kencing mendapati enam tangkapan positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam pada itu, Mohamed Farouk juga menasihati orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekitar serta tidak membuka ruang kepada penjenayah untuk melakukan perbuatan samun atau ragut.

Ujarnya lagi, orang awam diminta tampil membuat laporan polis sekiranya pernah menjadi mangsa samun bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

“Hasil tangkapan dan rampasan yang dibuat, kita percaya sebanyak enam kes samun berkumpulan dan bersenjata berjaya diselesaikan di daerah ini dan satu kes di Gombak,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 395 KK, Seksyen 397 KK dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette