Gelagat murid tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan baru ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Chee, Segambut. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Selangor akan menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai idea berkaitan pembukaan sesi persekolahan September ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak mahu keputusan pramatang dibuat sekaligus  bakal mengulangi kemunculan gelombang penularan jangkitan Covid-19 seperti yang berlaku apabila kerajaan membuka pelancongan domestik hujung tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum membawa cadangan untuk diajukan kepada MKN.

“Kerajaan Negeri Selangor akan bincang minggu depan tentang idea membuka sekolah September nanti adakah ia wajar dan kita akan berikan nasihat kepada MKN untuk pastikan keputusan itu tidak pramatang.

“Seperti kita benarkan untuk rentas negeri pada pengujung tahun lepas untuk pelancongan domestik sehingga menyebabkan kemunculan gelombang baharu pada Januari, Febuari, Mac sehingga kini,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Keputusan Kementerian Pendidikan baru-baru ini untuk membuka sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula September menimbulkan ketidakpuasan hati pihak yang bimbang tentang risiko jangkitan Covid-19.

Semalam, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaa meminta cadangan tersebut ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19 yang makin mengganas dengan jangkitan baharu harian melebihi 20,000 kes.

Dalam masa yang sama, satu kempen dalam talian diwujudkan bagi mendesak KPM menangguhkan sesi persekolahan bersemuka.

Setakat ini lebih 41,000 orang telah menandatangani bantahan menerusi petisyen yang dibuat secara dalam talian.- MalaysiaGazette