Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Johor,Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, penutupan premis yang terlibat dengan kegiatan judi dalam operasi baru-baru ini dilakukan selepas mendapat bukti dan dilakukan secara sah mengikut undang-undang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan polis mendapati terdapat premis yang menjalankan antaranya kedai runcit dan perniagaan ‘top up’ di bahagian depan, namun didapati mereka turut menjalankan judi dalam talian.

“Kalau mahu berniaga ikut undang-undang. Kalau nak berniaga, berniaga betul-betul, jangan di luar kedai top up tetapi di dalam tempat main judi.

“Kita mengambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 38 Akta Bekalan Elektrik 1990.

“Saya akan minta Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik mana-mana kedai yang terlibat kegiatan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Pada 31 Ogos lalu, beberapa kedai di pekan Labis, Segamat diarahkan tutup dan dipotong bekalan elektik selepas dikesan menjalankan kegiatan judi secara dalam talian.

Namun, jelas Ayob peniaga berkenaan mendakwa, pihak polis tidak mempunyai bukti mereka melakukan kegiatan tersebut sebelum mengadu perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Dr S Ramakrishnan.

Ramakrishnan yang juga Naib Pengerusi DAP Johor dalam satu kenyataan semalam, mempertikaikan tindakan pihak polis dan berharap bekalan elektrik disambung semula dan peniaga berkenaan dibenarkan berniaga seperti biasa.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, premis-premis yang terbabit boleh membuat rayuan, bagaimanapun pihak polis akan membuat penilaian dan pertimbangan terlebih dahulu.

Kegiatan judi dalam talian dikesan meningkat sejak tiga atau empat bulan lalu, berkemungkinan disebabkan perniagaan mereka kurang mendapat pelanggan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast