Naib Presiden MUDA, Lim Wei Jiet (dua dari kiri) menunjukkan surat tuntutat pada sidang media berkenaan pendaftaran parti MUDA di Putrajaya. Foto FIKRI YAZID, 25 MAC 2021.- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak permohonan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk didaftarkan sebagai parti politik secara rasmi.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, wakil perundangan KDN memaklumkan keputusan itu ketika pendengaran semakan kehakiman parti berkenaan hari ini.

Ia diputuskan agar kementerian itu dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membuat keputusan berkenaan permohonan parti itu.

“Adalah dimaklumkan dengan kuasa yang diperuntukan kepada saya selaku Menteri Dalam Negri di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 355) permohonan rayuan pendaftaran bagi Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) adalah tidak diluluskan,” katanya dalam surat rasmi hari ini.

Dalam pada itu, Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet berkata, pihaknya tidka dimaklumkan mengenai penolakan itu.

“Beberapa minit sebelum pendengaran bermula, peguam persekutuan telah memaklumkan bahawa menteri dalam negeri telah pun membuat keputusan berkenaan rayuan pendaftaran Muda.

“Penaja (Muda) tidak dimaklumkan mengenai perkembangan ini dan atas dasar itu pendengaran telah ditunda ke 18 Ogos 2021, jam 2.30 petang.

“Barisan penaja Muda baru sahaja dimaklumkan melalui kiriman emel dari ROS bahawa menteri dalam negeri bahawa telah menolak rayuan Muda untuk didaftarkan. Tiada sebarang alasan diberikan,” katanya.

Pada 8 Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 12 Ogos untuk mendengar permohonan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti Muda sebagai sebuah parti politik.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selaku pengasas parti memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 26 April lalu untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang masing-masing dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

Pada 4 Februari lalu, Muda menghantar surat rayuan berhubung pendaftarannya sebagai sebuah parti politik kepada RoS dan Hamzah.

Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lalu namun ditolak RoS pada 6 Januari lalu. – MalaysiaGazette