Suasana di tapak pengurusan mayat bagi masyarakat India pada upacara pembakaran mayat COVID-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan kes positif harian COVID-19 mencatatkan kes tertinggi iaitu 20,579 kes baharu di pusat pembakaran Pertubuhan Perkuburan India Wilayah Persekutuan , Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 05 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Subsidi sebanyak RM1,000 disediakan untuk menampung kos pengebumian mangsa Covid-19 bukan Islam, khususnya dalam kalangan yang tidak berkemampuan.

Menteri besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan akan ditambah kepada kuil-kuil dan rumah ibadat bukan Islam bagi membantu memudahkan proses pengebumian seperti yang berbangkit baru-baru ini.

Beliau merujuk laporan mengenai terdapatkeluarga yang tidak mampu membiayai kos yang dikenakan iaitu lebih RM2,000 untuk satu mayat.

Kata Amirudin lagi, agihan peruntukan subsidi daripada kerajaan kepada kuil-kuil akan diuruskan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, V. Ganabatirau.

“Siapa yang mampu melaksanakan bayaran kita tidak boleh halang tapi kalau siapa yang tiak mampu kerajaan negeri boleh bantu untuk elak caj berlebihan,” katanya dalam sidang dalam talian hari ini.

Menurut Menteri Besar, kerajaan negeri terpaksa campur tangan selepas menerima aduan-aduan peningkatan kos pengebumian dalam kalangan bukan Islam.

Sehingga kini, katanya, pengurusan pengebumian secara percuma hanya dilakukan secara bersepadu yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan dan Majlis Agama Islam peringkat negeri.

Dalam masa yang sama, Amirudin turut mengumumkan tambahan RM1 juta lagi peruntukan untuk Program Khairat Kematian RM1,000 untuk keluarga mangsa Covid-19 yang beragama Islam.

Ujarnya, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan permohonan yang diterima susulan berlakunya peningkatan kes kematian akibat wabak itu di Selangor sejak kebelakangan ini.

Untuk rekod, kerajaan negeri Selangor terdahulunya memperuntukkan RM1.5 juta untuk program tersebut, selaras dengan inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0. – MalaysiaGazette