Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Syarikat pembentungan dan pengurusan sisa kumbahan, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) mendapat lanjutan tempoh konsesi selama 12 tahun lagi.

Tempoh konsesi syarikat itu yang sepatutnya tamat pada 31 Mac 2022 dilanjutkan sehingga 31 Disember 2034.

Menerusi pemeteraian perjanjian yang berlangsung hari ini secara maya, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang mewakili kerajaan Malaysia menandatangani Perjanjian Tambahan dengan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.

Pemeterian perjanjian itu disaksikan Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam ucapannya Tuan Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan sistem pembentungan selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari keenam iaitu akses kepada air bersih dan sanitasi untuk semua.

Perkhidmatan pembetungan juga adalah salah satu komponen kritikal kejayaan Transformasi Sektor Air 2040, katanyua.

Jelas beliau, kerajaan dan IWK iaitu iaitu sebuah syarikat pembentungan nasional milik Kementerian Kewangan (Diperbadankan) telah memeterai perjanjian sejak 28 tahun lalu.

Katanya, IWK dibenarkan untuk mengambil alih, mengurus dan menyelenggara sistem pembetungan awam di seluruh negara pada 1 April 1994 sehingga 31 Mac 2022.

“Alhamdulillah, berdasarkan prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh IWK hampir 30 tahun ini, pada 21 Oktober 2020 yang lalu, Kerajaan Malaysia telah bersetuju menyambung perjanjian konsesi ini selama 12 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2034.

“IWK telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan aset-aset utama sistem pembetungan yang melibatkan lebih tujuh ribu loji rawatan kumbahan serta menyelenggara paip pembetungan sepanjang 22,000 kilometer,” katanya.

Tambah beliau, IWK turut diminta untuk menyelenggara kira-kira 1.3 juta tangki septik individu dan lebih 800,000 tangki tandas tradisional.

Katanya, jumlah aset itu meningkat hampir sepuluh kali ganda berbanding konsesi awal yang dimeterai pada tahun 1990-an, namun, sebahagian besar aset pembentungan awam di Malaysia telah lama.

Katanya, kini cabaran utama IWK adalah memastikan semua aset pembentungan beroperasi secara optimum dan pada masa yang sama perlu sentiasa menaik taraf sistem dan aset dengan kos yang efisyen, teknologi yang efektif dan piawaian baharu.

“Sepanjang tempoh IWK mengendalikan perkhidmatan pembentungan negara, pelbagai anugerah dan pengiktirafan telah diterima sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Sanjungan ini adalah bukti komitmen padu IWK hampir 30 tahun kepada pembangunan sistem pembetungan negara,” katanya. – MalaysiaGazette