Pasukan penyelamat memindahkan penduduk semasa banjir kilat melanda Bozkurt, di bandar Kastamonu. foto Reuters

ISTANBUL – Banjir kilat yang melanda bandar-bandar di wilayah Laut Hitam Turki telah mengorbankan 27 orang, kata agensi pengurusan kecemasan negara itu.

Ia merupakan bencana alam kedua yang menimpa Turki bulan ini.

Banjir menyebabkan kekacauan ke wilayah utara ketika pihak berkuasa berusaha menangani kebakaran belukar yang melanda wilayah pesisir selatan selama dua minggu.

Seorang mati akibat banjir di wilayah Kastamonu dan dua orang lagi mati di Sinop, kata Direktorat Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD).

Usaha mencari orang yang hilang di wilayah Bartin masih diteruskan.

Banjir dan kebakaran, yang mengorbankan lapan orang dan menghancurkan puluhan ribu hektar hutan, melanda Turki pada minggu yang sama ketika panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memaklumkan pemanasan global semakin berbahaya dan hampir tidak dapat dikawal dan cuaca ekstrem akan menjadi lebih parah .

Lebih daripada 1,700 orang dipindahkan dari kawasan yang terjejas dengan bantuan beberapa helikopter dan kapal, kata AFAD.

Banjir itu merosakkan infrastruktur elektrik, menyebabkan kira-kira 330 kampung tanpa bekalan elektrik.

Lima jambatan runtuh dan banyak yang lain rosak, menyebabkan penutupan jalan, tambah AFAD.

Sebahagian jalan juga dihanyutkan.

Rakaman televisyen menunjukkan banjir menyeret puluhan kereta hingga bertimbunan di sepanjang jalan. – Reuters