Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Kemasukan ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19 di Lembah Klang sudah semakin berkurangan.

Langkah itu adalah susulan program vaksinasi yang diadakan mencapai tahap 60 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia akan lebih nyata dapat dilihat dalam seminggu atau dua minggu lagi, selain penurunan kes penularan wabak itu.

Bagaimanapun, katanya, di negeri lain seperti Kedah, Johor, Kelantan dan Sabah dilihat kes meningkat dan vaksinasi juga masih bawah 50 peratus.

“Jadi kita perlu tingkatkan vaksinasi dan mengambil contoh di Labuan apabila vaksinasi ditingkatkan hari ini kes Covid-19 hanya satu angka sahaja,” katanya pada sidang media Covid-19 hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, sejak penubuhan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, pihaknya menambah kapasiti katil di antara 6,000 hingga 8,000 katil.

Walaupun jumlah pesakit Covid-19 di Lembah Klang mula menunjukkan penurunan, pihaknya tetap perlu membuat penambahan bilangan katil secara berterusan, katanya.

“Purata antara satu atau dua peratus pesakit baharu yang dikesan memerlukan rawatan lanjut di hospital. Berikutan itu, kita memerlukan 200 hingga 300 katil tambahan bagi menampung pesakit Covid-19 secara berterusan.

“Buat masa ini, (jumlah katil di Lembah Klang) boleh menampung selama dua minggu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast