Para peserta memakai baju berwarna hitam hadir untuk menyertai himpunan #Lawan sebagai protes terhadap pentadbiran kerajaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2021.

PUTRAJAYA – Setakat ini, tiada laporan mengenai kes jangkitan COVID-19 melibatkan perhimpunan “Keluar dan #Lawan” yang diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Julai lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Merujuk mesej tular mengenai dakwaan jangkitan COVID-19 membabitkan perhimpunan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) maklum mengenai perkara itu namun tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan terbabit.

“…siasatan masih dijalankan dan setakat ini, tiada laporan (kes) yang dikaitkan dengan kluster demonstrasi,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Mesej tular itu antara lain mendakwa seluruh anggota keluarga individu terbabit dijangkiti COVID-19 berpunca daripada adiknya yang hadir ke perhimpunan tersebut.

Mengulas status vaksinasi COVID-19 bagi ibu hamil, Dr Noor Hisham berkata sehingga 8 Ogos lepas, sejumlah 146,759 orang telah berdaftar di MySejahtera bagi mendapatkan vaksin.

Daripada jumlah itu, seramai 83,251 ibu hamil atau 57 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 20 peratus daripada mereka telah lengkap menerima dua dos vaksin.

“KKM menyeru semua wanita mengandung untuk mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi menerima vaksin kerana ia satu kaedah terbukti untuk mengurangkan kesan jangkitan COVID-19 serta melindungi mereka,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata mana-mana petugas kesihatan tidak seharusnya ‘menakutkan’ golongan wanita mengandung mengenai vaksin COVID-19 tetapi perlu menerangkan kepentingannya kepada mereka.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan wartawan mengenai dakwaan netizen di laman sosial bahawa terdapat petugas kesihatan yang menegah wanita mengandung menerima vaksin ketika mereka hadir ke klinik bagi pemeriksaan kesihatan ibu dan anak.

— BERNAMA