Perbuatan Takashi Kawamura menggigit pingat emas milik Mui Goto mencetuskan kemarahan ramai. foto Reuters

TOKYO – Pingat emas Olimpik Tokyo milik Miu Goto akan diganti baharu selepas Datuk Bandar Nagoya bertindak menggigit pingat berkenaan.

Takashi Kawamura, mencetuskan kemarahan warga maya selepas tindakannya membuka pelitup muka yang dipakainya dan menggigit pingat emas milik atlet Goto pada satu acara meraikan kemenangan Jepun ke atas Amerika Syarikat dalam perlawanan akhir softball wanita.

Kawamura dituduh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, pengotor dan tidak menghormati atlet berkenaan.

Seorang pegawai Olimpik memaklumkan mereka akan menukar pingat baharu untuk Goto.

Kawamura pula meminta maaf atas perbuatannya itu dan akan menanggung harga bagi penggantian pingat baharu.

“Selain menunjukkan kurangnya rasa hormat kepada atlet, dia menggigit (pingat) walaupun (atlet) perlu memakai pingat sendiri atau rakan sepasukan mereka semasa upacara penyampaian pingat sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan jangkitan. Maaf, saya tidak dapat memahaminya,” kata pemenang perak Jepun, Yuki Ota melalui Twitter.

“Pingat kuman” kini menjadi trending media sosial Jepun.

Malah Toyota, pemilik pasukan Goto turut mengutuk tindakan tersebut dengan menyifatnya sebagai tidak wajar.

Lebih 7,000 aduan terhadap Kawamura dibuat kepada pihak berkuasa bandar itu.

“Saya lupa kedudukan saya sebagai Datuk Bandar Nagoya dan bertindak dengan cara yang sangat tidak sesuai,” katanya.

Satu kenyataan dari penganjur Tokyo 2020 yang memaklumkan penggantian telah dipersetujui antara Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Goto.

IOC akan menanggung kos, katanya.

Menggigit pingat adalah kebiasaan biasa dalam acara sukan tetapi biasanya dilakukan oleh pemilik pingat tersebut.

Penganjur Tokyo 2020 kemudian mengulas insiden tersebut melalui Twitter: “Kami hanya ingin mengesahkan secara rasmi bahawa # Tokyo2020medals tidak boleh dimakan!”. – BBC