Peniaga, Ismail Jusoh menonton Perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mensenai Pemulihan Negara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Raja Boat, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mencadangkan persefahaman rentas parti untuk bentuk kerajaan bipartisan untuk melaksanakan tanggungjawab membawa negara keluar dari krisis.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi tujuan itu, kerajaan akan menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan berkenaan perkara itu  pada minggu depan.

“Saya akan mengeluarkan jemputan rasmi kepada semua pimpinan parti politik untuk menghadiri perbincangan ini. Saya bersedia untuk mendengar pandangan mereka berhubung cadangan ini,” katanya katanya dalam perutusan khasnya secara langsung hari ini.

Perdana Menteri mencadangkan persefahaman rentas parti untuk bentuk kerajaan bipartisan untuk melaksanakan tanggungjawab membawa negara keluar dari krisis semasa pengumuman secara langsung hari ini.

Menurutnya, langkah itu dicadangkan kerana ketika ini tiada seorang pun ahli Parlimen lain dapat membuktikan sokongan majoriti untuk membolehkan Perdana Menetri baharu dilantik.

Menurut Muhyiddin, sekiranya cadangan kerjasama bipartisan  dipersetujui, beliau akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Saya memberi jaminan bahawa saya akan mengambil tindakan yang terhormat dan berperlembagaan dalam menyelesaikan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.

“Keutamaan saya hanyalah untuk memastikan kerajaan terus berfungsi dengan baik untuk menangani pandemik dan memulihkan negara,” katanya.

Beliau berkata, ia merupakan akujanji beliau untuk memastikan mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu pada masa akan datang.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa.

“Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu apabila tiba masa lebih sesuai.

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,” katanya dalam perutusan khasnya, hari ini.

Muhyiddin juga berkata, beliau memberikan cadangan itu bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi di waktu pandemik dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

“Saya juga seperti anda, mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik ini tidak diselesaikan segera,” katanya. – MalaysiaGazette