Datuk Masidi Manjun

KUALA LUMPUR – Ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) menjadi berkemungkinan besar penyumbang kepada peningkatan kes di Sabah sejak kebelakangan ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19, Datuk Masidi Manjun berkata, seluruh daerah di negeri itu kini mencatatkan trend peningkatan kes harian.

Menurutnya, daripada 2,052 kes baharu yang direkodkan semalam, sebanyak 1,154 kes atau 56.24 peratus melibatkan kontak rapat, 440 kes atau 21.44 peratus adalah kes melalui saringan bergejala, 91 kes daripada saringan kluster sedia ada dan 71 kes melalui saringan bersasar.

Manakala, 14.4 peratus atau 296 kes adalah daripada kategori-kategori lain.

“Dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya menerusi kenyataan lewat malam tadi.

Dalam masa yang sama katanya, penularan wabak di dua tempat kerja turut menyumbang peningkatan kes harian di negeri berkenaan.

Ia melibatkan sebuah pelantar minyak yang sehingga kini disahkan 209 pekerjanya positif Covid-19.

Selain itu tambah beliau, 109 pekerja tapak binaan Hyatt Centric terdiri daripada warga Filipina, China dan Malaysia dijangkiti wabak itu, menjadikan jumlah peningkatan di Kota Kinabalu sebanyak 635 kes.

Mengulas lanjut Masidi berkata, sebanyak 1,634 kes baharu semalam merupakan Kategori 1 dan 2 kes.

Sementara itu, 22 kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4, dua  kes dalam Kategori 5.

“Pesakit dalam Kategori 4 dan Kategori 5 ini memerlukan rawatan rapi (ICU). Sebanyak 388 kes masih dalam siasatan lanjut untuk menentukan pengkategorian,” ujarnya. – MalaysiaGazette