Old Trafford antara venue EPL yang sudah bersiap sedia dengan protokol kesihatan Covid-19 untuk menerima penonton berkapasiti penuh malam Sabtu selepas 17 bulan ditutup.Kredit Action Images via Reuters

LONDON – Selepas 17 bulan ditutup mengharungi Covid-19, Old Trafford bakal membuka tirai aksi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 dengan kapasiti penuh memuatkan kira-kira 75,000 penonton.

Kali terakhir the Red Devils beraksi dengan stadium kapasiti penuh adalah menewaskan jirannya Manchester City 2-0 sebelum pintu stadium ditutup sepenuhnya akibat Covid-19.

Kini cahaya menyinar di hujung terowong apabila sekitar 55,000 penyokong tegar Man United kembali ke stadium pada aksi persahabatan menentang Everton dan Brentford City dua minggu lalu.

Namun Sabtu ini aksi pembukaan menentang Leeds United akan beraksi dengan penonton berkapasiti penuh.

Kelab sedang bekerja keras mengejar masa untuk membuat persiapan dengan protokol Covid-19 untuk menerima 75,000 penonton malam esok.

Sejak awal Ogos ini Theatre of Dreams bekerja keras melakukan segala persiapan rapi supaya stadium sentiasa selamat untuk semua.

Kesepian 17 bulan bakal terubat dalam masa 24 jam lagi dan segala persiapan menyambut penyokong untuk musim baharu EPL dijangka lebih meriah dengan norma baharu.

Rakan kongsi baharu kelab pakar Hygene Ecolab akan memastikan stadium disanitasi sepenuhnya pada tahap tinggi selain membuat penambahbaikan dalam bilik persalinan kedua-dua pasukan.

Malah kelab itu bertambah yakin dapat melangsungkan perlawanan dengan selamat dan mematuhi piawaian Covid-19 yang disyorkan kementerian kesihatan United Kingdom apabila mereka berjaya mengadakan aksi persahabatan tanpa sebarang kes positif atau risiko jangkitan semasa lawan the Bees dan Toffees.

Di sekitar Stadium Old Traffford sebanyak 750 stesen sanitasi awam disediakan oleh kelab untuk kegunaan penonton.

Selepas dibuka pada tahun 1910 dan dibangunkan semula selepas Perang Dunia Kedua, Old Trafford tidak direka bentuk dengan protokol Covid-19 dan fasiliti penjarakan fizikal.

Pelbagai pembaharuan terkini iaitu memperkenalkan sistem tiket perlawanan secara digital.

Para penyokong dinasihati masuk awal ke stadium mengelak kesulitan.

Polis City of Manchester sudah mengeluarkan peringatan awal kepada para penyokong yang akan membanjiri Stadium Old Trafford supaya lebih beradab dengan mengambil kira protokol Covid-19 semasa menonton perlawanan.

Malah penyokong kedua-dua pasukan juga dinasihati supaya tidak terlampau liar meraikan perlawanan semasa berada di dalam stadium kelak pada Sabtu.-Dailymail.com