Kit Ujian Kendiri Covid-19. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OGOS 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diarah untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengurus isu harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 sebaik mungkin demi kepentingan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mengambil maklum perkara tersebut dan menggesa agar perkara itu dapat diurus dengan baik.

Katanya, KPDNHEP sedang menjalankan libat-urus dan kajian kos termasuk harga serta bekalan alat ujian kendiri Covid-19 terhadap syarikat-syarikat yang telah dilesenkan meliputi setiap rantaian pengedaran, pembekalan sehingga di peringkat runcit seperti farmasi dan klinik.

“Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan harga runcit alat ujian kendiri Covid-19 pada harga yang bersesuaian supaya tidak membebankan pengguna,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nanta Linggi memberitahu, kit ujian kendiri Covid-19 kini merupakan keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak itu.

Pada masa sama beliau berkata, KPDNHEP menyarankan agar pengguna lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian tersebut di pasaran dengan merujuk di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia Device Authority (MDA) di pautan https://portal.mda.gov.my/  
untuk mengetahui senarai syarikat yang telah diluluskan oleh pihak MDA bagi mengedar dan menjual kit itu untuk kegunaan awam. – MalaysiaGazette