Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis Klang menahan lima lelaki dalam tiga serbuan berasingan pada Rabu lalu kerana dipercayai menghadiri majlis sambutan hari jadi yang berunsurkan aktiviti kongsi gelap.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pada jam 8 pagi pihaknya telah mengesan satu rakaman video berdurasi selama 30 saat yang dimuat naik pada laman Facebook menunjukkan aktiviti sambutan hari jadi oleh sekumpulan lelaki sedang memotong kek menggunakan pedang samurai.

Katanya, kejadian tersebut disyaki berlaku di sebuah rumah di kawasan Batu 10 Jalan Kapar, Klang Selangor.

“Turut dikesan dari hasil pemerhatian dalam video tersebut terdapat logo/lambang dipercayai dari sebuah kumpulan kongsi gelap (Geng 08) yang telah diwartakan sebagai pertubuhan haram di bawah kesalahan Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, rakaman video tersebut juga memaparkan sekumpulan lelaki telah melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 iaitu gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mengulas lanjut, Nurulhuda berkata, tangkapan pertama ke atas suspek berumur 22 tahun yang mana beliau mempunyai satu rekod lampau kes samun berkumpulan bersenjata dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tangkapan kedua ke atas satu lelaki berumur 21 tahun dan pempunyai tiga rekod lampau melibatkan kes pecah rumah, samun berkumpulan dan samun berkumpulan bersenjata di bawah Seksyen 457, 395/397 dan 395 Kanun Keseksaan, ujarnya.

Jelasnya, tangkapan ketiga merupakan suspek berusia 17 tahun dan tiada sebarang rekod lampau manakala tangkapan keempat membabitkan seorang lelaki berumur 24 tahun dan mempunyai satu rekod lampau mencederakan orang dengan senjata di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan kelima seorang lelaki berbangsa india berumur 24 tahun dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Menurut Nurulhuda, kes disiasat dibawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan 269 Kanun Keseksaan.

Jelasnyua, kesemua saspek dibenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Ogos lalu dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya. – MalaysiaGazette