Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO berpandangan perutusan yang disampaikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam hanya langkah untuk mencerminkan sifat ‘innocent’ (tidak bersalah) bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai majoriti.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hakikatnya kerajaan PN telah gagal mengurus pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan 12,000 nyawa terkorban.

Jelasnya, Muhyiddin cuba mempertontonkan bahawa PN adalah mangsa (victim) dan cuba mengubah keseluruhan plot cerita daripada kegagalan kerajaan PN kepada kerajaan yang kononnya jadi mangsa politik.

“Dengan alasan itu kemudian cuba menghalalkan ‘habuan’ bersyarat kepada ramai pihak supaya mengekalkan PN sebagai kerajaan Persekutuan. Ini perbuatan yang sangat tidak bermoral dan berakhlak oleh sebuah kerajaan Malaysia.

“Dengan alasan itu juga cuba menakut-nakutkan rakyat konon program vaksinasi tidak akan berjalan lancar tanpa mereka memegang kuasa.

“Sedangkan program vaksinasi tidak lancar sejak ia bermula dan kerana itu sehingga hari ini imuniti kelompok masih belum dapat dicapai,” katanya di Facebook beliau, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin cuba untuk menyelamatkan kedudukannya dengan propaganda bahawa semua pihak perlu bekerjasama melawan Covid-19 namun hakikatkan kerajaan sudah tiada sokongan majoriti.

“Realitinya terlalu banyak cadangan demi rakyat dan negara diketengahkan ramai pihak sebelum ini tidak dipedulikan. Betapa angkuh dan sombong.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dibentuk bersama wakil parti bukan kerajaan pun sekadar wayang apabila keputusan membatalkan Ordinan Darurat tanpa diketahui jawatankuasa itu,” jelasnya lagi.

Semalam, Muhyiddin mencadangkan tujuh tawaran kepada pembangkang untuk memperolehi sokongan terhadap keabsahannya selaku Perdana Menteri.

Ia termasuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU15) selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.

Tawaran itu didakwa dibuat Muhyiddin bagi memperolehi sokongan untuk memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Bagaimanapun, ia ditolak bulat-bulat oleh gabungan pembangkang Pakatan Harapan.

Tambah Ahmad Zahid, cubaan kerajaan PN menunggang Perlembagaan Persekutuan juga tidak sepatutnya berlaku.

Spin terbaru kerajaan PN semalam memang hebat. Mungkin ada kaitan dengan pelantikan penasihat baharu bertaraf menteri. Syabas namun sila cuba lagi! Rakyat masih ada masalah kepercayaan yang besar terhadap kerajaan PN pimpinan Presiden Bersatu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ahmad Zahid Hamidi yg menawarkan dirinya sebagai Perdana Menteri tanpa pengetahuan orang lain menunjukan beliau juga seorang yg gila kuasa seperti cikgunya Pak Non Siliwati.
    Harap YDPA dapat memilih seorang yang utamakan rakyat serta tiada masalah berkait jenayah rasuah ,mungkir janji, moral atau penipuan supaya Allah taala dapat mengangkat QIF19 daripada bumi Malaysia.
    Kita mahu mereka peminpin yang martabatkan Agama Islam seperti Negara Brunei Darul Salam , sebab sekarang negara2 yang tidak memastikan kesucian Agama Islam mempunyai kes Covid19/Qif19 semakin naik walaupun sudah lengkap 2 dose vaksin.
    Adakah Kita sedar atau hanya sekadar tahu begitu tetapi masih dilakukan.
    Tanda tidak hormat kepada Agama Islam walaupun sepotong ayat Al Quran telah ditunjukan dan kesannya boleh dilihat apabila kes covid naik.
    Terutama dalam pemipin politik yg banyak memberi galakan kepada sebilangan rakyat supaya ingkar termasuk perintah Allah taala.

Comments are closed.