revocation of Emergency Ordinance Former Prime Minister Datuk Seri Najib Razak 1MDB debts KWAN 1Malaysia Development Berhad
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pemimpin negara yang mengambil tanggung jawab untuk letak jawatan setelah hilang keyakinan rakyat dan hilang sokongan majoriti ahli Parlimen bukan satu perkara luar biasa pada zaman pandemik.

Malah, perubahan pemimpin semasa pandemik juga tiada kena-mengena dengan tidak berperikemanusiaan atau tidak peduli keadaan rakyat yang perlu diselamatkan.

Sebaliknya, kata Datuk Seri Najib Razak, pendekatan perlu berubah setelah banyak kali gagal demi keadilan serta kebaikan rakyat dan negara.

Menurut beliau, apa lagi nak dikata sekiranya kuasa penuh darurat sudah diberi selama tujuh bulan tetapi Covid-19 menjadi 12 kali ganda lebih teruk.

Malaysia antara negara paling lama menjalani Perintah Kawalan Pergerakan tetapi makin lama lockdown makin tinggi kes Covid-19 tanpa bantuan sewajarnya bagi rakyat.

Katanya, Malaysia menjadi negara antara paling tinggi dalam dunia bagi kadar kes baharu dan kematian Covid-19.

Malaysia juga menjadi pasaran saham paling corot di Asia Pasifik dan kedua paling corot dalam dunia di belakang Venezuala.

Belanjawan 2021 serta had hutang yang diluluskan telah terpecah dan ujuran pertumbuhan ekonomi perlu dipotong lebih separuh dari 7% ke 3.5% ke 4%.

”Kesemua berlaku sebab tujuh kesilapan dan kesalahan dasar amat besar dan amat jelas ianya salah dilakukan oleh dia biarpun kita sudah berulang-kali suruh jangan buat macam itu sebab ianya akan membawa malapetaka kepada negara.

”Lain-lain negara tak seteruk itu tapi lain-lain pemimpin dunia turut mengambil tanggung jawab kegagalan dengan meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada orang baharu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Berbeza negara-negara itu dengan Malaysia ialah pemimpin mereka mengaku gagal (walaupun prestasi tak seteruk Malaysia) dan bersedia mengambil tanggung jawab sebab ini melibatkan nyawa manusia dan kelangsungan hidup rakyat.

”Takde pun mereka keluar kaca TV untuk sogok dan meminta nyawa secara live ataupun tuduh tanpa bukti bahawa mereka yang tak sokong dia adalah kluster mahkamah,” katanya lagi.

Selain itu, negara Amerika Syarikat dan Jepun juga telah tukar presiden dan perdana menteri semasa pandemik.

Najib berkata, pengurusan kerajaan dan program vasinasi tetap berjalan cuma yang mungkin tukar cuma dasar-dasar gagal kerajaan. – MalaysiaGazette