KUALA LUMPUR – Seorang doktor pakar di Sabah mendakwa akan berlaku ‘bencana’ besar berkaitan pandemik Covid-19 dalam beberapa minggu akan datang di negeri itu.

Dr Timothy William yang merupakan pakar runding penyakit berjangkit di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu menasihatkan penduduk di Sabah tidak keluar rumah sekurang-kurangnya lapan minggu dari sekarang bagi mengelakkan lebih banyak musibah akibat  virus tersebut.

Tulis Dr Timothy di laman sosial Facebook beliau, segala garis panduan dan SOP perlulah diikuti dengan sehabis baik sekiranya mempunyai sebarang keperluan untuk keluar rumah.

Timothy William

“Tolonglah duduk sahaja di rumah sekurang-kurangnya untuk tempoh lapan minggu dari sekarang. Hanya jika anda telah menerima vaksin sepenuhnya anda boleh keluar sementara untuk bekerja mahupun membeli keperluan asas serta ubat-ubatan.

“Jika berada di luar tolong amalkan penjarakkan sosial, pakai pelitup muka dan patuh semua SOP ini walaupun anda telah terima vaksinasi penuh.

“Covid-19 adalah musuh yang langsung tidak ada perikemanusian yang tidak akan mempunyai belas kasihan pada anda mahupun keluarga anda yang akhirnya membunuh.

“Kita akan berdepan dengan satu bencana tragis yang belum pernah dihadapi dalam beberapa minggu akan datang di Sabah,” tulisnya.

Dr Timothy juga mendedahkan ketika ini dunia perubatan sebenarnya sangat terbeban.

“Orang di Sabah paling sedikit terima vaksin, jadi berhati-hatilah. Kekal selamat untuk diri sendiri dan keluarga,” ujarnya.

Setakat semalam sebanyak 1,384,353 kes dilaporkan di negara ini dengan kematian sudah mencecah 12,228 dengan kes yang sedang dirawat di ICU semakin bertambah saban hari. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast