Para pengamal media dari pelbagai agensi dilihat berkumpul bagi mengikuti perkembangan terkini susulan pertemuan tertutup antara Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang diadakan di di kawasan persekitaran Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Penantian sekumpulan media di di luar perkarangan Hotel Royale Chulan KL berakhir dengan kekecewaan apabila ahli-ahli politik yang dipercayai sedang menandatangani surat sokongan menggunakan pintu belakang untuk pulang.

Malah hampir lima jam pengamal media menunggu kelibat terutamanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang tiba di hotel berkenaan sekitar 2.45 petang.

Namun, beliau ‘hilang’ begitu sahaja.

Wartawan MalaysiaGazette yang berada di lokasi berkenaan sejak jam 3 petang  diberitahu oleh salah seorang pengurusan yang enggan dikenali, terdapat satu ‘majlis’ rahsia dan media tidak dibenarkan.

Malah ketika wartawan semakin ramai, kebanyakan kereta termasuklah yang mempunyai plat kereta ‘Ahli Parlimen’ dilihati memasuki ruang parkir letak kereta di ‘basement’.

Pengamal media tidak dibenarkan masuk ke tempat letak kereta itu.

Difahamkan, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional, turut berada di hotel berkenaan.

Sekitar jam 7 malam ketika telah lama menanti barulah media mengetahui kesemua wakil rakyat sudah beransur pulang menggunakan ‘jalan lain’ di hotel berkenaan sekitar jam 5 petang lagi.

Tinjauan MalaysiaGazette ke tempat letak kereta bawah tanah juga mendapati parkir yang sebelum ini penuh dengan pelbagai kenderaan pacuan empat roda serta kenderaan ‘VIP’ semuanya sudah tidak ada.

Media juga dimaklumkan Ismail Sabri menghadiri mesyuarat di Menara Dato Onn PWTC bersama-sama pimpinan UMNO yang lain.

Namun dakwaan itu tidak dapat disahkan oleh mana-mana pihak.

Namun rata-rata pemimpin UMNO yang keluar dari Menara Dato Onn termasuklah Datuk Seri Johari Abdul Ghani sekitar hampir jam 8 malam mengunci mulut dan enggan bercakap dengan media.

Surat akuan menyokong Ismail Sabri sebagai bakal Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah rahsia apabila Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengaku sudah menandatangi akuan berkenaan.

Malah MalaysiaGazette juga difahamkan ada juga pimpinan dalam kalangan Perikatan Nasional (PN) sudah menandatangani akuan berkenaan menyokong Ismail Sabri.

Siang tadi satu kenyataan media mengandungi lambang PN mengisytiharkan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dari Bersatu selaku timbalannya tular.

Bagaimanapun, pegawai kanan kepada Hamzah berkata, kenyataan itu adalah palsu.

Rata-rata pemimpin UMNO juga mulai beredar tanpa bertemu dengan media seperti biasa pada malam ini di Menara Dato Onn.

Terdapat juga ura-ura mengatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan dan bakal mempersembahkan dua nama calon Perdana Menteri yang baharu, sewaktu beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin.

Selain nama Ismail Sabri, sumber memberitahu adalah satu nama lagi akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong iaitu Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga merupakan Ahli Parlimen Sembrong.

Bagaimanapun difahamkan, majoriti pimpinan kanan dalam Bersatu tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, dan masih merasakan parti mereka perlu menerajui kerajaan yang baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast