Peniaga mengemas barang perniagaannya selepas waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam mulai hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pengumuman pembukaan ekonomi mulai esok merupakan langkah tepat bagi membantu usahawan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membuka kembali perniagaan mereka secara berperingkat-peringkat.

Ini kerana, sekiranya tidak dimulakan sekarang, kesannya terutama terhadap pengusaha perniagaan dan pekerja-pekerja mereka akan semakin parah.

Menteri Pembangunan, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan telah membuat penelitian dan pertimbangan sewajarnya bagi membolehkan sektor ekonomi beroperasi seperti sediakala.

Nasib rakyat terutamanya golongan PMKS yang kehilangan sumber pendapatan merupakan intipati penting yang diambil kira sebelum keputusan ini dibuat.

Katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) amat peka dengan masalah dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan dalam sektor bukan perlu ini, yang mewakili hampir 90 peratus daripada sektor PKS di Malaysia.

”Jika kita tidak tolong kumpulan ini, ada kemungkinan empat juta warga tempatan akan kehilangan pekerjaan,” katanya.

Justeru PMKS yang tersenarai dalam perniagaan boleh beroperasi semula ini perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mereka, mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 bagi membuktikan individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

Kemudahan terbaharu yang yang diumumkan oleh perdana menteri ini akan terpakai ke atas semua fasa Pelan Pemulihan Negara dengan syarat, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di negeri berkenaan mestilah telah mencapai sekurang-kurangnya 50% dan individu-individu yang ingin memanfaatkan kemudahan ini juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.

”Dengan pengumuman ini diharapkan usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh yang sukar ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette