KUALA LUMPUR – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah menunjukkan perkembangan awal positif dengan penurunan bilangan kes kategori tiga hingga lima di enam negeri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa 18 tahun dan ke atas di negeri-negeri tersebut iaitu Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah melebihi 40 peratus.
“Semalam buat pertama kalinya, tidak ada kes jangkitan baharu COVID-19 yang dilaporkan di Labuan.
Beliau berkata, purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang juga telah menurun.
Pada 31 Julai, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang dan jumlah itu menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos hasil perancangan rapi kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi.
Menurut beliau, kerajaan melalui Greater Klang Valley Special Task Force (GKVSTF) dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) sememangnya sedang bertungkus-lumus untuk meredakan situasi di Lembah Klang.
Perdana Menteri berkata beliau berharap trend penurunan itu dapat diteruskan untuk mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU) yang memerlukan rawatan lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa.
“Oleh itu, segeralah mendaftar untuk dapatkan vaksinasi, termasuk bagi ibu hamil dan remaja dalam kumpulan umur yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksinasi.
“Majikan juga perlu mainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka termasuk pekerja asing mendapat vaksinasi,” katanya. – MalaysiaGazette