1000 balingan EM Mudball sempena Program Pemulihan Sungai Galing, Kuantan berlangsung pagi tadi.

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan memohon peruntukan sebanyak RM30 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf tebing Sungai Galing yang terletak di bandar ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, peruntukan itu merupakan Pelan Tindakan Program pemulihan Sungai Galing dilaksanakan melalui pelan jangka masa panjang dan pendek.

Pelaksanaan pelan jangka pendek akan bermula bulan ini selama enam bulan, berakhir pada bulan Januari 2022 manakala jangka panjang mengambil masa dua tahun.

Antara kerja-kerja yang dilaksanakan ialah pembersihan sungai, pencegahan, penguatkuasaan dan pemantauan.

Menurutnya, aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bersama pelbagai agensi telah memeriksa 1,600 premis dan sebanyak 40 kompaun serta 100 notis dikeluarkan kepada premis-premis sepanjang sungai ini.

Tambah Hamdan, sejumlah RM30 juta yang dipohon untuk menaik taraf sungai ini akan memulihkan infrastruktur di sepanjang kawasan dan mendalamkan semula sungai.

Kawasan rekreasi dan kemudahan infrastruktur di penggiran Sungai Galing akan dinaiktaraf bermula Ogos ini.

”Kita meletakkan standard sungai ini seperti Sungai Melaka yang mana pernah menghadapi cabaran sama dalam usaha pemuliharaannya,” katanya yang percaya sungai ini akan menjadi kawasan rekreasi dan kemudahan pilihan masyarakat pada masa depan.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam program membaling 1,000 ‘Effective Microorganisme EM mudball, ke dalam Sungai Galing sebagai usaha merawat kualiti air yang telah tercemar.

Bahan itu mengambil masa 30 hari untuk larut dan bertindak balas ke atas pencemaran.

Selain itu, Hamdan menaruh harapan agar program pemulihan Sungai Galing ini mampu mengubah landskap kebersihan dan menjadi kebanggaan warga Bandaraya Kuantan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua penghuni industri dan peniaga di sepanjang sungai itu menjaga kualiti air daripada tercemar, di samping mewujudkan kebun komuniti dan mencegak wabak denggi serta taun.

Sungai Galing sepanjang 22.7 kilometer dengan 28 meter lebar bermula dari kawasan perindustrian Semambu dan berakhir ke Sungai Kuantan.

Hasil penyelidikan Universiti Malaysia Pahang pada tahun 2012 telah mendapati Indeks Kualiti Air Sungai Galing berada pada Kelas IV. – MalaysiaGazette