KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengembangkan 250 kursus merangkumi pelbagai bidang fokus dalam Edisi Direktori Latihan Kemahiran Digital 2021.

Ia merangkumi Sains Data (56 kursus), Keselamatan Siber (44 kursus), Animasi (19 kursus), Pembangunan Permainan (5 kursus) dan Pembangunan Perisian (56 kursus).

Perniagaan Digital Global adalah bidang fokus terbaharu dengan 77 kursus telah ditawarkan.

Bagi edisi 2021, Direktori Latihan Kemahiran Digital dikategorikan kepada tiga jenis kursus iaitu Kerja dan Belajar, Meningkatkan Kerjaya dan Latihan atas Permintaan.

Kemas kini berkenaan merupakan tambahan terbaharu kepada Direktori Latihan Kemahiran Digital dengan menawarkan sembilan platform kursus dalam talian mega terbuka (MOOC).

Sebanyak sembilan platform berkenaan adalah Pusat Kewangan, Teknologi dan Keusahawanan (CFTE), OpenLearning Global (M) Sdn. Bhd, LinkedIn Learning, EC-Council CodeRed, Leaderonomics Digital Sdn Bhd, 360DigiTMG (AiSPRY), Akademi GA Sdn Bhd, SAS Institute Sdn Bhd dan LTT Global Communications Sdn Bhd.

Naib Presiden dan Ketua Kemahiran Digital dan Pekerjaan MDEC, Dr Sumitra Nair berkata, edisi yang ditambah baik itu selari dengan keperluan segera untuk syarikat melatih semula perkerja mereka untuk berdepan dengan perubahan dalam norma sosio-ekonomi akibat pendemik Covid-19.

Menurutnya, walaupuan terdapat peningkatan yang ketara dalam tawaran latihan semula dan peningkatan kemahiran yang boleh disertai syarikat, namun cabaran utama mereka adalah untuk memilih kursus dan penyedia latihan dalam talian yang terbaik.

Oleh itu, Direktori Latihan Kemahiran Digital yang dilancarkan oleh MDEC, membolehkan syarikat memperoleh kursus latihan dengan mudah dan memenuhi keperluan latihan semula dan peningkatan kemahiran diinginkan.

Direktori Latihan Kemahiran Digital telah dilancarkan pada 24 Ogos 2020 dengan berfungsi sebagai panduan sehenti untuk latihan semula dan peningkatan kemahiran.

Ianya adalah katalog kursus dan penyedia latihan dalam talian yang telah disemak secara terperinci dan disahkan oleh Rangkaian Tenaga Kerja Berkepakaran (TEN) MDEC, untuk menjadi panduan para bakat dalam memilih kursus yang menjadi keperluan dalam kerjaya mereka dalam ekonomi digital.

MDEC berkata, direktori ini telah diktiraf oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan akan menyediakan pembiayaan sehingga RM4,000 seorang untuk kursus terpilih di bawah Skim Insurans Pekerja (EIS) kepada ahli yang menerima manfaat pemberhentian pekerja.

Kursus-kursus yang ditawarkan oleh Penyedia Latihan yang diluluskan oleh HRDC turut disenaraikan bagi membantu majikan untuk mengenal pasti kursus yang boleh dibiayaai menerusi caruman HRDC.

Selain itu, beberapa kursus terpilih yang menawarkan pensijilan turut layak untuk menerima pembiayaan sehingga RM7,000 di bawah Insentif Pengambilan Pekerja PENJANA 2.0 (Maksimum RM4,000 bagi kategori perintis).

Latihan yang tersenarai dalam Direktori Latihan Kemahiran Digital MDEC juga boleh dibiayai di bawah inisiatif MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT), iaitu program latihan dan pengambilan pekerja yang fokus kepada pembangunan bakat teknologi berkualiti serta melonjakkan sektor perkhidmatan
perniagaan digital.

Lanjutan daripada #MyDigitalWorkforce Movement yang dilancarkan tahun lepas oleh MDEC, yang menyasarkan kepada peningkatan kemahiran dan subsidi bakat serta perniagaan dengan insentif latihan dan gaji bernilai RM100 juta.

Di bawah inisiatif ini, terdapat dua program iaitu Perkhidmatan Perniagaan Digital (DBS) dan Perintis Teknologi Digital (DTA).

Selain subsidi gaji, syarikat yang menyertai DBS boleh memilih senarai kursus dalam “Kerja dan Belajar” atau “Latihan atas Permintaan” dan tuntutan insentif latihan sehingga RM8,000 seorang.

Syarikat boleh memohon menerusi MYWiT di https://mdec.my/mywit/.

Menerusi inisiatif Direktori Latihan Kemahiran Digital dan MYWiT, MDEC akan terus menjalankan amanah dalam menyokong Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) serta visi Malaysia 5.0 MDEC – membolehkan negara terintegrasi dengan teknologi, menyediakan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan.

Syarikat dan individu yang inginkan maklumat lebih terperinci mengenai pekerjaan dan kemahiran digital boleh menyertai #MyDigitalWorkforce Week (MDWW), yang berlangsung pada 16 hingga 30 Ogos sempena Malaysia Tech Month 2021 (MTM’21).

MDWW menawarkan ekspo pekerjaan digital dan webinar oleh syarikat yang menawarkan pekerjaan serta terdapat juga rakan penyedia latihan yang menganjurkan program satelit dan sesi latihan.

Bagi yang berminat boleh mendaftar di MTM’21 menerusi https://mdec.my/mtm2021/. – MalaysiaGazette