KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri tidak akan menganggu momentum pelaksanaan program vaksinasi yang sedang berjalan.
Sebaliknya, menurut beliau, rekod Malaysia yang mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan.
”Jangan bimbang, Kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion.
”Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian,” katanya ketika berucap dalam Perutusan Khas sebentar tadi.
Tambahnya, jumlah vaksin yang ditempah itu lebih daripada mencukupi untuk semua.
Malah, katanya, jika pelaksanaan program vaksinasi berjalan lancar, seluruh rakyat akan menerima vaksin pada akhir Oktober ini.
Beliau turut menzahirkan harapan agar kerajaan baharu yang akan mengambil alih pentadbiran negara menjaga rakyat seperti mana yang beliau lakukan.
“Saya senantiasa prihatin dengan nasib saudara dan saudari sekalian kerana saya anggap saudara dan saudari sebagai anak-anak saya sendiri. Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat,” ujarnya.
Muhyiddin turut optimis Malaysia akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat.
”Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan.
”Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” tambah beliau.
Dalam ucapan itu, Muhyiddin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus lumus memerangi pandemik Covid-19.
”Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya buat semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional. Saya berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang.
”Saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu Kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat kepada rakyat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette