Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – UMNO akan memanggil ahli-ahli Majlis  Tertinggi (MT) parti untuk bermesyuarat sekiranya ketua-ketua parti dipanggil untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara itu dinyatakan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

“Kita tunggu kalau Yang di-Pertuan Agong panggil ketua-ketua parti kita akan bermesyuarat,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO akan mengadakan mesyuarat susulan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ditanya mengenai kehadirannya ke Menara Dato Onn, Mohamed Khaled menjawab, beliau menghadiri mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung pukul 2 petang tadi.

Katanya, banyak perkara dibincangkan dalam mesyuarat tersebut yang menjurus kepada gerak kerja parti.

Kedudukan Perdana Menteri mula diperkatakan apabila MT UMNO pada awal bulan ini membuat ketetapan sebulat suara menarik sokongan kepada Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkuatkuasa serta-merta.

Kemelut itu akhirnya berakhir apabila Muhyiddin mengumumkan berundur daripada jawatannya hari ini sekaligus bakal menyaksikan Malaysia ditadbir oleh kerajaan baharu.

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya, Muhyiddin berkata, Agong berkenan menerima surat berhubung perkara itu menjadikan seluruh Kabinetnya terbubar. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. RAKYAT AKAN LIHAT DAN TUNGGU SUMPAH KERAMAT UMNO….NO ANWAR NO DAP….SAMADA UMNO AKAN DIMAKAN SUMPAHNYA NANTI

Comments are closed.