Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Hari ini Isnin, 16 Ogos 2021 perhatian tertumpu ke tiga lokasi – kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, bangunan Perdana Putra di Putrajaya dan juga Istana Negara di jalan Duta..

Sama ada meletakkan jawatan atau memohon membubarkan Parlimen, jawapannya hanya akan diketahui selepas Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong tengahari nanti.

Muhyiddin dijangka mempengerusikan mesyuarat Kabinet pagi ini bagi memaklumkan keputusannya sama ada akan terus mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional atau meletakkan jawatan berikutan kehilangan majoriti apabila 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan terhadap beliau dan kerajaan PN.

Selesai mesyuarat perdana menteri dijangka menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara.

Beliau juga dikatakan akan mengadakan perutusan khas mengumumkan kedudukannya selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Suhu politik negara semakin hangat selepas perdana menteri pada Khamis lalu membuat tawaran persefahaman rentas parti bagi mewujudkan kerajaan bipartisan kepada semua ahli-ahli Parlimen pembangkang sebelum usul undi percaya dibentangkan pada 7 September.

Antara tawaran yang dikemukakan termasuk melantik ketua pembangkang ke jawatan yang setara dengan menteri kanan.

Tawaran tersebut bagaimanapun ditolak oleh semua parti pembangkang dan juga UMNO. – MalaysiaGazette