Tiga beranak yang memancing di tepi Sungai Klang terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Kuching di sini semalam.

KUALA LUMPUR – Tiga beranak yang memancing di tepi Sungai Klang terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Kuching di sini semalam.

Ketiga-tiga mangsa bagaimanapun diselamatkan oleh dua anggota trafik.

Semasa kejadian mereka nyaris dihanyutkan air di sungai berkenaan.

“Semalam, kira-kira pukul 3.20 petang, Gerakan Trafik Kuala Lumpur menerima maklumat dari orang awam untuk mendapatkan bantuan terhadap seorang lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berbangsa Melayu telah terperangkap dalam banjir kilat di Sungai Klang, tepi Jalan Kuching menghala ke Jalan Kinabalu,” kata polis dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan maklumat tersebut, anggota dari Kawalan lalulintas JSPT KL iaitu Lans Kopral Hafizul Khalis Anuar dan Konstabel Wan Muhammad Hazleeshah Wan Hasbullah bertindak pantas memberi bantuan kepada ketiga-tiga mangsa.

“Ketiga-tiga mangsa berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” kata kenyataan yang sama.

Mangsa dikatakan sedang memancing ikan di tepi Sungai Klang dalam keadaan hujan lebat dan tiba- tiba air naik tanpa mereka sedari.

Berdasarkan gambar yang tular, motosikal milik mangsa juga ditenggelamkan air banjir.- MalaysiaGazette