Mohd Rosni.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang membuka 107 kertas siasatan dengan nilai kerugian berjumlah RM1.2 juta berhubung sindiket penipuan tawaran kerja platform e-dagang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, statistik berkenaan dicatatkan sejak awal Januari hingga Sabtu lalu membabitkan 107 mangsa terdiri daripada 66 wanita serta 41 lelaki.

Jelas beliau, kebanyakan mangsa yang diperdaya berusia lingkungan 14 hingga 54 tahun dan berdasarkan statistik golongan pelajar paling ramai ditipu iaitu seramai 35 orang diikuti dengan pekerja swasta (30) serta penganggur (21).

“Kita lihat tahap kecurigaan rendah dalam kalangan rakyat negeri ini menyebabkan kes penipuan tawaran kerja platform e-dagang naik sejak kebelakangan ini.

“Ada mangsa yang rugi ribuan dan ada yang puluh ribu ringgit sebab itu jumlah kerugian keseluruhan berjumlah RM1.2 juta,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas mengenai modus operandi, Mohd Rosni berkata, sindiket akan mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram sebelum mangsa yang berminat dengan tawaran kerja berkenaan diarahkan oleh sindiket membeli barangan di platform e-dagang kononya untuk menaikkan rating produk tersebut.

“Mangsa dijanjikan komisen lapan hingga 15 peratus bagi setiap pembelian dan keuntungan itu akan dibayar dalam tempoh 10 minit selepas pembelian tersebut.

“Bagi menyakinkan mangsa, pulangan komisen produk murah akan diperoleh, namun apabila diarahkan beli produk ribuan ringgit sindiket akan menghilangkan diri sekali gus gagal dikesan.

“Hasil semakan polis mendapati kesemua akaun bank yang digunakan sindiket merupakan keldai akaun dan ada antara keldai akaun sudah ditangkap,”’ujar beliau.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan dengan tidak mendedahkan identiti diri kepada individu yang baru dikenali, memeriksa latar belakang syarikat yang menawarkan pekerjaan serta membuat semakan akaun bank sebelum melakukan transaksi. – MalaysiaGazette