UMNO Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, beliau tidak pernah terlintas untuk menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

Dalam satu kenyataan malam ini, katanya, sebagai manusia biasa beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas dirinya sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara akan mempertimbangkan beberapa calon perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau juga menyeru seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini.

Esok jam 2 petang semua ketua parti-parti politik akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan bakal perdana menteri kesembilan berikutan peletakan jawatan Muhyiddin daripada jawatan perdana menteri berikutan kehilangan majoriti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggariskan empat cadangan agar kemelut politik di bawah pentadbiran Muhyiddin tidak lagi berulang.

Pertama, Ahmad Zahid mencadangkan sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah.

Katanya, kerajaan itu akan memfokuskan kepada menangani perang pandemik Covid-19 dan menguruskan soalsoal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

Jelas beliau, sebuah kabinet yang efektif mirip  ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat, katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast