Bank Rakyat di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 03 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bank Rakyat memperkenalkan kemudahan pembiayaan baharu khusus bagi menyokong usahawan industri sukan negara menerusi Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) baru-baru ini.

Kemudahan SPIS diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
mendapatkan pembiayaan menerusi dana sebanyak RM10 juta yang disalurkan oleh
MEDAC.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, pelaksanaan PKP di seluruh negara menyebabkan kesemua acara dan pertandingan sukan tidak dapat dianjurkan dan menyebabkan kebanyakan usahawan dalam industri ini mengalami penurunan jualan, malah ada yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka.

“Justeru sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, Bank Rakyat sentiasa
mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi menyediakan kemudahan kewangan
kepada komuniti usahawan mikro dan PKS daripada pelbagai sektor ekonomi,” tambah
beliau.

Setakat ini, Bank Rakyat telah meluluskan jumlah pembiayaan melebihi RM1.72 juta da-
lam sektor sukan. Kemudahan SPIS ini dijangka dapat meningkatkan pemfokusan Bank berkenaan dalam sektor sukan termasuk bidang perkhidmatan dan peruncitan.

Inisiatif ini juga merupakan salah satu daripada bantuan Bank Rakyat untuk pengusaha PKS selain daripada Bantuan Pembayaran Pembiayaan Bersasar dan pengumuman moratorium Perdana Menteri menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun 2021.

Menerusi program ini, nilai pembiayaan yang akan disalurkan adalah daripada RM20,000
sehingga RM500,000 bagi setiap usahawan mengikut kelayakan serta terma dan syarat,
manakala tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga 7 tahun, termasuk tempoh
moratorium sehingga 9 bulan.

Usahawan industri sukan yang boleh membuat permohonan termasuk pusat kecergasan,
runcit, pengendali pusat sukan, penjagaan kesihatan (psikologi, fisioterapi), aktiviti
perniagaan (pereka, penyelidik, wartawan, ejen atlet, penganjur acara, perunding tajaan,
pakar perlesenan dan perdagangan).

Selain itu, perniagaan tersebut mestilah berdaftar serta menjalankan aktiviti perniagaan
yang patuh Syariah. pada masa yang sama, Bank Rakyat menawarkan Pembiayaan Mikro-i, BR Flexi-i, BR SJPP (Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan), Pembiayaan Harta-i, dan Pembiayaan Modal Kerja-i kepada usahawan mikro, PKS dan koperasi yang memerlukan dana dan pembiayaan untuk mengembangkan dan meningkatkan lagi perniagaan mereka. – MalaysiaGazette