Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Walaupun diasak berkali-kali, saksi pendakwaan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abd Rahman menafikan dirinya ada membuat ‘rundingan’ dengan pihak pendakwaan bagi menggugurkan namanya dalam tuntutan sivil oleh 1MDB.

Mohd Hazem yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB merupakan saksi ke-10 membuat penafian itu ketika ditanya peguambela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika perbicaraan kes rasuah 1MDB RM2.28 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Tetapi pada masa sama ketika Muhammad Shafee menyoal seandainya namanya bersama-sama enam lagi telah digugurkan dari saman sivil 1MDB itu, Mohd Hazem mengangguk dan berkata ‘ya’.

Peguam yang mewakili Datuk Sri Najib Razak, Datuk Sri Muhammad Shafee Abdullah

Muhammad Shafee: Adakah anda pernah melihat writ saman itu?

Mohd Hazem: Tidak. Saya masih lagi tunggu writ berkenaan, tidak pernah terimanya.

Muhammad Shafee: Adakah anda tahu nama anda telah digugurkan sebagai defendan. Adakah anda setuju nama anda telah digugurkan?

Mohd Hazem: Ya, ada ketahui melalui akhbar.

Muhammad Shafee: Ingin saya cadangkan sebenarnya anda ada berjumpa pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan memberitahu saman ini tidak diteruskan.

Ini adalah kerana anda telah beri keterangan sebagai saksi dan pada masa disaman pula atas dakwaan serius.

Mohd Hazem: Tidak, saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Saya katakan anda telah diberikan jaminan yang nama anda akan digugurkan?

Mohd Hazem: Tidak setuju.

Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2021.

Bagaimanapun pada masa sama, Mohd Hazem bersetuju pula ada nama yang digugurkan termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Azmi Tahir yang juga bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB.

Pada 7 Mei lepas, 1MDB dan subsidarinya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited telah memfailkan saman terhadap Najib dan bekas Pengarah 1MDB, antaranya Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Selain itu, defendan lain seperti Mohd Hazem, Shahrol Azral, Azmi Radhi Mohamad dan bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin serta Nik Faisal Ariff Kamil.

Hari ini, Muhammad Shafee ketika prosiding ada mengemukakan writ saman yang sudah dipinda dan menggugurkan nama beberapa individu termasuk Mohd Hazem daripada senarai asal 15 defendan.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan  sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding akan bersambung esok pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast