KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengumumkan pelantikan Mohd Ridzal Mohd Sheriff sebagai Ketua Pengarah YaPEIM yang baharu berkuatkuasa 13 Ogos lalu.

Mohd Ridzal, 56 tahun, memiliki pengalaman luas menjangkau 30 tahun dalam bidang perbankan dan pasaran modal, serta beberapa tahun di dalam agensi kerajaan.

Beliau dilantik memegang jawatan tersebut, secara lantikan kontrak selama dua tahun.

Mohd Ridzal yang memulakan kerjaya beliau di D&C Nomura Merchant Bank Berhad, pernah menjadi CEO beberapa buah syarikat termasuk Infitodax (L) Pte Ltd, Deutsche Trustees (M) Berhad dan Malaysian Derivatives Clearing House Berhad.

Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan kanan di institusi seperti Deutsche Bank Malaysia Berhad, Bursa Malaysia, dan Ultimate Futures Sdn Bhd.
Selain itu beliau pernah berkhidmat selaku Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, dengan pelantikan seorang Ketua Pengarah yang berpengalaman luas seperti Mohd Ridzal, YaPEIM akan dapat meneruskan dan meningkatkan lagi potensinya serta memastikan YaPEIM kekal relevan dalam menyantuni masyarakat selaku sebuah institusi pembangunan sosio-ekonomi dan amal jariah yang sesuai dengan mandatnya untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam di Malaysia.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Parihah Hasan atas khidmat beliau memangku jawatan Ketua Pengarah sejak 2019. – MalaysiaGazette