Nilai Kadar Kebolehjangkitan (RT) berkaitan Covid-19 di negara  kini adalah sebanyak 1.05, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Nilai Kadar Kebolehjangkitan (RT) berkaitan Covid-19 di negara  kini adalah sebanyak 1.05, kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Perlis iaitu RT 1.25 diikuti  Sarawak (nilai RT 1.23) serta Kelantan (nilai RT 1.19).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, dan Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham menambah, kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengenal pasti sebanyak 43 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang kesemuanya adalah Varian Membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Varian Mempunyai Kepentingan (VOI) adalah sebanyak 710 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 690 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.

“Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 467 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta,” katanya. – MalaysiaGazette