Foto Facebook KKM.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 49 kluster baharu hari ini yang mana Selangor dan Kelantan, masing-masing mencatatkan jumlah kluster baharu tertinggi sebanyak 10 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia diikuti Johor sebanyak sembilan kluster dan Pulau Pinang sebanyak tujuh kluster.

Negeri lain yang mencatatkan kluster baharu adalah Perak dan Sarawak, masing-masing tiga kluster.

“Kuala Lumpur dan Pahang pula masing-masing mencatatkan dua kluster manakala satu kluster masing-masing direkodkan di Sabah, Melaka dan Kedah,” katanya.

Bagi kategori kluster, Dr. Noor Hisham berkata, tempat kerja melaporkan 30 kluster baharu diikuti komuniti 13 kluster, kumpulan berisko tinggi lima kluster dan satu kluster di pusat tahanan.
Sehingga kini, 1,386 kluster masih aktif dan 2,920 kluster telah tamat.

Beliau berkata, kes kematian hari ini adalah sebanyak 225 kes yang melibatkan 198 warganegara dan 27 bukan warganegara.

“Terdapat 1,060 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 540 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes sembuh mencatatkan sebanyak 19,680 kes, menjadikan jumlah kes sembuh sebanyak 1,198,726 kes.

“Kematian di luar hospital (BID) akibat Covid-19 berjumlah 35 hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette