Empat individu direman bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM130,000 ketika hadir ke Mahkamah Majistret, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2021.

SHAH ALAM – Lima individu termasuk jurutera dan dua penolong jurutera direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor berjumlah RM130,000 pada 2019.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Tuan Ahmad Faisal Azmi setelah mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Terdahulu empat individu terbabit yang dibawa dari lokap SPRM Selangor di sini tiba di Kompleks Mahkamah Shah Alam tepat jam 10 pagi tadi.

Semalam, SPRM Selangor menahan lima individu termasuk seorang jurutera, dua penolong jurutera sebuah jabatan kerajaan serta dua pengurus syarikat kontraktor ketika hadir memberi keterangan, antara jam 1.30 hingga 5 petang.

 

Kesemua suspek lelaki berusia 37 hingga 45 tahun itu dipercayai meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah tersebut.

Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek tersebut namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

Sementara itu, seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,500 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan tersebut.

Bagi kes ini pula, Mahkamah Majistret membenarkan dia direman tujuh hari bagi membantu siasatan SPRM.

Semalam, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette