Warga asing mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 susulan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pihak berkuasa mengatasi segera isu kesesakan warga asing di PPV ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks PKNS Kelana Jaya, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 12 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Semua pelaksanaan usaha pengawalan pandemik dan vaksinasi negara diteruskan dengan lancar seperti yang telah dirancang susulan perkembangan terbaharu dalam tampuk pemerintahan negara.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan KSU MOSTI, Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, KKM akan terus melaksanakan langkah-langkah strategik yang telah dirancang bagi mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan dan rawatan kesihatan awam di seluruh negara ketika berhadapan pandemik Covid-19 ini.

“Di Lembah Klang, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) meneruskan fokus kepada usaha logistik, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pemantauan Kendiri di Rumah dan memastikan Sistem Sokongan Sosial bagi petugas barisan hadapan di Lembah Klang terus berfungsi dengan baik.

“KKM juga telah melaksanakan perolehan pelbagai jenis vaksin Covid-19 antaranya Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac serta Cansino dan sehingga 16 Ogos 2021, sejumlah 33,879,979 dos telah dibekalkan untuk tujuan pemvaksinan,” katanya dalam kenyataan itu yang dikeluarkan disini.

Tambah mereka, dalam hal ini, perolehan dan sumbangan vaksin Covid-19 ini dapat membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok dalam kalangan penduduk Malaysia.

Menurut mereka, vaksin Covid-19 sangat berkesan terutamanya untuk mencegah daripada jangkitan Covid-19.

Jelas kedua-dua pegawai tertinggi kementerian KKM dan MOSTI itu, daripada 19,740 kes baharu yang dilaporkan pada 16 Ogos 2021, hanya 1.5 peratus kes berada pada kategori 3-5 iaitu mereka yang memerlukan rawatan rapi kerana jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan ventilator.

“Majoriti kes harian iaitu 85.13 peratus adalah kes kategori 1 dan 2, yang tiada gejala dan bergejala ringan.

“Selain itu, kes harian Covid-19 mencatatkan penurunan di Sarawak dan Labuan kesan daripada liputan imunisasi yang tinggi yanhg mana di Sarawak 81.5 peratus penduduk dewasa telah menerima dua dos lengkap vaksin manakala di WP Labuan, 89.3 peratus penduduk dewasa telah menerima dua dos lengkap vaksin.

“Impaknya, kes harian di Labuah mencatat sifar kes pada 14 Ogos dan hanya 5 kes harian pada dua hari lepas,” ujar mereka.

Malah kata mereka, selepas pelaksanaan Operasi Surge Capacity Klang Valley terdapat penurunan kes kemasukkan hospital & penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kenyataan itu memaklumkan, jumlah kemasukan pesakit harian Covid-19 di  Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang menurun 50 peratus sejak seminggu lalu dan situasi yang sama berlaku di Pahang, bilangan pesakit kategori 3, 4 dan 5 mulai menurun.

“KKM akan terus melaksanakan pengurusan bersepadu Covid-19 di wilayah-wilayah lain di seluruh negara bagi mengoptimumkan sumber mengikut konsep clustering seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang.

“Dalam pada itu, Program Imunisasi COVID-19 (PICK) yang diterajui oleh MOSTI kini berada di landasan tepat dalam usaha negara untuk mencapai perlindungan yang dikehendaki pada Oktober ini.

“Setakat 16 Ogos 2021, peratusan populasi dewasa Malaysia yang telah lengkap divaksinasi mencapai 47.2 peratus sementara lebih 73 peratus telah sekurang-kurangnya menerima suntikan dos pertama manakala setakat ini, sebanyak lebih 28 juta dos suntikan telah diberikan di negara ini,” tegasnya.

Momentum kadar pemberian vaksinasi negara juga terus kekal konsisten yang mana pada semalam terus melepasi 500,000 suntikan iaitu sebanyak 501,776 dos yang diberikan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 325,902 suntikan adalah untuk dos kedua, manakala 175,874 suntikan adalah untuk dos pertama.

Sehingga 16 Ogos juga, lebih empat negeri iaitu Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka, serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Lembah Klang telah mencatatkan peratusan populasi dewasa Malaysia melebihi 40 peratus iaitu nilai ambang yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Selebihnya, lima negeri telah mencapai kadar 30-39 peratus (Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Pahang dan Kedah) dan hanya tiga negeri (Kelantan, Johor dan Sabah) yang berada dalam kategori 20-29 peratus.

Namun begitu, mengambil kira penjadualan bekalan penghantaran vaksin pada bulan ini, kesemua negeri ini disasarkan akan mencapai nilai ambang tersebut pada akhir Ogos nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast