Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf mendaftar masuk melalui MySejahtera di Cherating, Pahang

KUANTAN – Polis Pahang menerima antara 1,500 hingga 1,800 permohonan rentas daerah dan negeri setiap hari, kata Ketua Polis, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Katanya, kelonggaran merentas daerah hanya diberikan kepada mereka yang telah menerima dua dos vaksin Covid-19 manakala kebenaran merentas negeri tertakluk kepada kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Permohonan rentas negeri masih boleh dimohon jika mempunyai alasan kukuh dan berasas dan PDRM akan permudah cara sekiranya permohonan lengkap.

“Hanya menunjukkan sijil digital penerimaan vaksinasi melalui MySejahtera kepada anggota yang bertugas di sekatan jalan raya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau menyatakan demikian ketika meninjau pembukaan sektor pelancongan di Cherating yang berkuat kuasa pada Isnin lalu.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner  Mohamad Noor Yusuf Ali dan Ketua Polis Balai Cherating, Sarjan Mejar Anuar Yaakob.

Pasukan IPD Kuantan membuat pemantauan operasi sektor pelancongan di sekitar Cherating

Tinjauan MalaysiaGazette di Cherating mendapati pemain industri sudah bersedia untuk memulakan operasi serta menerima kedatangan pelancong domestik.

Ramli berkata, operator pelancongan perlu memastikan para pekerja telah melengkapkan pengambilan vaksin dan mereka diingatkan tidak menyalah gunakan kelonggarkan yang diberikan itu. – MalaysiaGazette