KUALA LUMPUR – Selepas mengalami penurunan bagi tempoh lima suku tahun berturut-turut, produktiviti buruh Malaysia bagi suku kedua tahun ini meningkat kepada 13.6 peratus (ST1 2021: -0.4%) dengan nilai RM22,117 per pekerja (ST1 2021: RM22,513 per pekerja).

Peningkatan ketara ini berikutan asas nilai yang lebih rendah dicatatkan pada tahun lalu iaitu negatif 16.1 peratus (RM19,467 per pekerja).

Namun, berbanding dengan suku sebelumnya, produktiviti buruh jatuh bagi suku tahun yang kedua dengan merekodkan negatif yang lebih kecil 1.8 peratus (ST1 2021: -4.6%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar Malaysia melonjak 16.1 peratus tahun ke tahun daripada negatif 0.5 peratus pada ST1 2021 manakala pekerja dengan sejumlah 15.2 juta orang, meningkat 2.2 peratus berbanding negatif 0.04 peratus pada ST1 2021.

Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja, Mohd Uzir berkata, jumlah jam bekerja pada ST2 2021 meningkat 33.2 peratus (ST1 2021: -0.8%) merekodkan 8.3 bilion jam bekerja (ST1 2021: 8.5 bilion jam).

Ini telah mendorong produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja jatuh 12.8 peratus (ST1 2021: 0.4%) dengan nilai sebanyak RM40.5 per jam (ST1 2021: RM40.2 per jam).

Menurutnya, penurunan produktiviti buruh pada suku ini berikutan peningkatan jumlah jam bekerja yang lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan nilai ditambah.

Di samping itu, jumlah jam bekerja pada suku ini merupakan yang kedua terendah direkodkan selepas ST2 2020 (6.2 bilion jam bekerja) berikutan waktu operasi perniagaan yang terhad lanjutan daripada pelaksanaan langkah kawalan yang ketat.

Produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per pekerja bagi semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan dua digit pada suku ini kecuali sektor pertanian.

Produktiviti buruh sektor pembinaan meningkat kepada 37.6 peratus pada ST2 2021 berbanding negatif 8.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Sektor pembuatan terus kukuh pada 23.2 peratus (ST1 2021: 5.5%) didorong oleh pertumbuhan semua subsektor kecuali subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan dan prosesan makanan.

Pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh di sektor ini dicatatkan oleh subsektor minuman dan produk tembakau (55.7%), diikuti oleh produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (41.8%) dan peralatan pengangkutan, pembuatan lain & pembaikan (39.3%).

Pada masa yang sama, produktiviti buruh sektor perlombongan dan pengkuarian dan perkhidmatan masing-masing meningkat 14.1 peratus (ST1 2021: -4.2%) dan 11.0 peratus (ST1 2021: -2.4%).

Tiga subsektor perkhidmatan yang mencatatkan pertumbuhan ketara ialah pengangkutan & penyimpanan (37.3%), Kewangan & insurans (24.6%) dan perdagangan borong & runcit (19.4%).

Sebaliknya, produktiviti buruh sektor pertanian menurun 3.3 peratus pada ST2 2021 berbanding pertumbuhan positif 0.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Melihat produktiviti buruh mengikut nilai ditambah per jam bekerja, semua sektor ekonomi mencatatkan kejatuhan pada suku ini di mana sektor pembuatan turun 4.2 peratus berbanding pertumbuhan positif 8.1 peratus pada ST1 2021.

Di samping itu, sektor perlombongan & pengkuarian dan pembinaan terus mengalami kejatuhan masing-masing sebanyak 7.1 peratus (ST1 2021: -2.6%) dan 7.8 peratus (ST1 2021: -8.6%).

Sementara itu, pertanian (-15.6%) dan perkhidmatan (-15.9%) mencatatkan penurunan dua digit dalam produktiviti buruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast