Pekerja MARDI, Kairul Abidin Che Mat melakukan kerja-kerja di tapak semaian tanaman terung di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 06 NOVEMBER 2020. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membantu seramai 7,406 individu untuk menjadi usahawan agropreneur melibatkan peruntukan sebanyak RM131.8 juta melalui pelbagai bantuan geran.

MAFI memaklumkan, jumlah usahawan yang dibantu itu adalah sejak Dasar Agromakanan Negara (DAN) mula dilancarkan pada 2016.

Katanya, sehingga Julai 2021, seramai 498 orang telah diluluskan permohonannya oleh pihak kementerian dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.9 juta.

“Daripada jumlah tersebut, ianya dijangka dapat menyumbangkan RM29.8 juta kepada negara melalui
economic spin-off.

“Jangkaan ini berdasarkan sasaran kementerian untuk melahirkan agropreneur muda berpendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan selepas menerima bantuan geran ini.

“Dalam masa yang sama, kementerian menjangkakan
agropreneur muda ini dapat membantu ekonomi setempat melalui konsep communitydriven economy,” kata MAFI.

Tambahnya, MAFI mendapat banyak permintaan daripada anak-anak muda yang ingin menceburi bidang pertanian dan agromakanan.

Justeru katanya, bagi meneruskan usaha dan merancakkan lagi penglibatan golongan muda menyertai bidang pertanian dan agromakanan, permohonan Geran Agropreneur Muda akan dibuka kepada mereka yang baru menceburi atau belum pernah menjalankan sebarang projek pertanian.

Permohonan baru itu tertakluk kepada syarat-syarat yang akan dikemukakan antaranya keperluan untuk menghadiri kursus-kursus teknikal yang ditetapkan dan sebagainya, katanya.

“Kementerian menerusi jabatan dan agensi akan terus menggerakkan sektor pertanian dan agromakanan negara dengan meneruskan kesemua inisiatif dan insentif yang telah
dirancang untuk membantu rakyat terutamanya dikala negara masih berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19, serta bertekad dalam menyumbang kepada pelbagai keberhasilan yang disasarkan kerajaan dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negara.” katanya. – MalaysiaGazette