KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi menarik golongan muda untuk memulakan projek pertanian.
Ketua Setiausahanya, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, jumlah tersebut adalah dengan sasaran untuk membantu seramai 750 orang agropreneur muda.
Katanya, peruntukkan yang dikeluarkan itu adalah ekoran menyedari betapa pentingnya sektor pertanian terutamanya ketika negara dan dunia dilanda pandemik Covid-19, selain Geran Agropreneur Muda menjadi pilihan penting bagi membantu anak-anak muda memulakan projek berkenaan.
“Sehingga Julai 2021, seramai 498 orang telah diluluskan
permohonannya oleh pihak kementerian dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.9 juta.
“Daripada jumlah tersebut, ianya dijangka dapat menyumbangkan RM29.8 juta kepada negara melalui
economic spin-off.
“Jangkaan ini berdasarkan sasaran kementerian untuk melahirkan agropreneur muda berpendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan selepas menerima bantuan geran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Empowerment @Agropreneur Muda 2021 secara maya hari ini.
Menurut Haslina, pada masa sama, MAFI menjangkakan agropreneur muda berkenaan dapat membantu ekonomi setempat melalui konsep community-driven economy.
Dengan mengambil contoh, beliau berkata, seorang penanam cili yang menerima bantuan geran sudah tentu akan menggaji pekerja bagi membantunya untuk meningkatkan
pengeluaran hasil ladang.
Begitu juga dengan seorang usahawan bakeri, sudah pasti akan menggaji pekerja untuk meningkatkan pengeluaran kek atau pastri, katanya.
Tambah beliau, perkara itu bermaksud peluang-peluang
pekerjaan juga akan dicipta melalui perniagaan yang dijalankan oleh mereka.
Bukan setakat itu, menurut Haslina lagi , kesan economic multiplier juga pasti berlaku disebabkan penerima geran itu pasti memerlukan bekalan input-input pertanian dan bahan mentah serta penambahbaikan infrastruktur.
“Sudah tentu, faktor permintaan ekonomi ini akan membantu sektor-sektor pembekalan yang lain. Kementerian menjangkakan kesan penggandaan bernilai RM89.4 juta melalui bantuan geran yang diberikan pada hari ini,” katanya.
Dalam pada itu Haslina memberitahu, pihaknya menerima banyak permintaan daripada golongan muda yang baru ingin menceburi bidang pertanian dan agromakanan.
Justeru katanya, sebagai kementerian yang prihatin permohonan Geran Agropreneur Muda dibuka kepada golongan muda yang betul-betul baru atau belum pernah menjalankan projek pertanian.
Bagaimanapun jelas beliau, ia tertakluk kepada syarat-syarat yang akan dikemukakan dimana antaranya pemohon perlu menghadiri kursus-kursus teknikal yang ditetapkan
dan sebagainya.
“Saya berharap dengan kaedah ini, lebih ramai anak-anak muda terutama mereka yang betul-betul berminat dan memenuhi syarat dapat dibantu,” ujarnya. – MalaysiaGazette