Alat pemunggahan buah sawit dari ladang ke dalam lori yang memudahkan pekerja.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan Penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)  mencipta teknologi pemunggahan buah tandan segar (BTS) di ladang sawit ke dalam lori.

Hasil teknologi yang diketuai oleh Mohd Ramdhan Mohd Khalid telah dilancarkan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi MPOB 2021.

Ia terdiri daripada rekaan casis serta sistem hidraulik untuk menerima muatan daripada jentera pengangkut bersaiz kecil di ladang. Pek kuasa hidraulik dikuasakan oleh bateri 24V berupaya untuk mengangkat muatan buah sawit sehingga 400 kg.

Alat ini juga mudah dipasang atau dipisahkan daripada jentera pengangkut untuk tujuan penundaan di ladang.

”Menurut kajian, penggunaan alat pengangkat mudah alih ini menyumbang kepada peningkatan operasi pemindahan buah sawit ke lori hingga 35% lebih cepat berbanding dengan pemunggahan secara manual, sekali gus meningkatkan produktiviti untuk aktiviti pemunggahan BTS di ladang sawit.

”Kaedah pemunggahan buah sawit yang lebih cekap mampu mengurangkan proses pengendalian berulang selanjutnya mengurangkan kerosakan buah sawit dan menyumbang kepada peningkatan kualiti minyak,” kata Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Penyelidikan projek ini bermula pada tahun 2017 dan teknologi ini telah ditawarkan untuk pengkomersialan kerana ianya lebih praktikal serta membantu peningkatan produktiviti di ladang sawit.

Sistem bin yang pada ketika ini digunakan dengan meluas di ladang sawit telah memberikan impak yang besar untuk aktiviti pengumpulan dan pemunggahan
BTS di ladang. Sistem ini melibatkan integrasi bin dengan traktor mini-Grabber dan treler pengangkat tinggi (high-lift).

Namun, sebilangan besar jentera pengangkut BTS bersaiz kecil yang diguna di ladang biasanya menurunkan muatan ke tanah dan kemudian dipindah secara manual ke dalam bin atau treler.

Pengendalian buah sawit yang berulang akan melambatkan pengangkutan dan menjejaskan kualiti minyak.

“Teknologi ini dapat mengurangkan beban pekerja ladang sawit bagi aktiviti memunggah BTS. Penggunaan jentera ladang adalah antara galakan bagi menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja di ladang sawit.

”Penggunaan peralatan yang menggunakan kuasa bateri dapat menyumbang kepada penggunaan teknologi hijau di sektor ladang sawit,” katanya.

Teknologi tersebut telah menarik minat sebuah syarikat tempatan untuk dikomersialkan dan MPOB sedang dalam proses pemindahan teknologi tersebut melalui perjanjian pelesenan. – MalaysiaGazette