Dua lelaki dan seorang wanita rentung dalam satu kemalangan di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang, Isnin lalu.

GEORGE TOWN – Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu yang mendakwa waris kepada tiga mangsa rentung kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini pada Isnin lalu bagi proses pengecaman mayat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sampel DNA diambil semalam susulan pengecaman mayat tidak dapat membuktikan mereka yang hadir merupakan waris kepada mangsa-mangsa tersebut.

Jelas beliau, ujian DNA adalah proses yang paling tepat bagi mengelakkan berlaku kesilapan pengecaman mayat.

Soffian Santong.

“Pengecaman gagal dibuat ekoran barang peribadi yang diperolehi daripada ketiga-tiga mayat tidak cukup selain tiada ciri-ciri pengenalan khas pada kesemua mangsa yg boleh membantu pengecaman.

“Sehubungan itu, pihak forensik telah mengambil sampel DNA daripada setiap waris mangsa untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi proses pengesahan identiti mayat terbabit.

“Buat masa ini, ketiga-tiga mayat itu disimpan dalam peti sejuk Jabatan Forensik HPP sementara menunggu keputusan ujian DNA dipeorleh. Selesai itu, baru kita akan serah mayat kepada ahli keluarga mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Soffian memberitahu hasil bedah siasat ke atas ketiga-tiga mayat itu mendapati punca kematian disebabkan ‘severe burn’ (melecur) terlibat dalam kemalangan.

“Hasil pemeriksaan doktor turut mengesahkan mayat tiga mangsa yang terdiri daripda dua lelaki dan seorang perempuan itu berusia lingkungan 20-an.

“Kita minta waris bersabar kerana proses pengecaman serta pengesahan identiti mayat tidak seperti biasa,” ujar Soffian.

MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan tiga individu rentung selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu langgar sebatang pokok sebelum terbakar dalam satu kejadian di Jalan Masjid Negeri berhampiran Hospital Lam Wah Ee di sini.

Kejadian kira-kira jam 2.50 pagi itu menyebabkan dua lelaki dan seorang wanita rentung sepenuhnya akibat terperangkap dalam kereta jenis Toyota Vios.

Identiti kesemua mangsa itu belum dikenal pasti setakat ini, memandangkan mangsa serta kereta tersebut hangus sepenuhnya.

Dalam operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa, pihak bomba menemui dua lelaki di bahagian pemandu dan penumpang belakang manakala wanita itu di bahagian penumpang hadapan. – MalaysiaGazette