Beberapa individu dibawa oleh anggota polis bagi tujuan siasatan lanjut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas menyertai memorial memperingati mangsa yang meninggal dunia akibat Covid 19 anjuran Sekretariat Suara Rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Kesemua 31 individu yang menyertai memorial bagi mengenang mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19 di Dataran Merdeka malam tadi dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, mereka yang terlibat telah dikompaun sebaik sahaja selesai diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Pasukan pematuhan IPD Dang Wangi mengesan sekumpulan individu sedang berhimpun di Dataran Merdeka kira-kira pukul 8 malam bagi memperingati mereka yang gugur disebabkan pandemik Covid-19.

“Dalam perhimpunan tersebut, didapati 31 individu terdiri daripada ahli Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) sedang berhimpun sambil membakar lilin dan memegang kain rentang berwarna putih yang tertulis ‘Belasungkawa jiwa-jiwa yang telah pergi’ sebelum mereka dibawa untuk diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Noor Dellhan, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (perhimpunan tanpa notis), Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Berjangkit 1988 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Individu dibawa oleh anggota polis bagi tujuan siasatan lanjut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas menyertai memorial memperingati mangsa yang meninggal dunia akibat Covid 19 anjuran Sekretariat Suara Rakyat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 OGOS 2021.

Dalam masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya terus mematahui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi wabak Covid-19.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kegagalan mematuhi SOP ini membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa,” ujarnya

Terdahulu beberapa individu yang menyertai memorial itu disuraikan oleh anggota polis yang bertugas kira-kira pukul 8.30 malam sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi dengan menaiki dua buah trak. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Kompaun RM2000 tu terlalu rendah meh…!!! Kalau ada penularan Covid-19, kos rawatan pun melebihi RM10K untuk seorang. Mereka mesti dikenakan kompaun maksima!!! dan penjara sekiranya ada peruntukkan. Jangan LUPA PASTIKAN PENGANJUR dikenakan TINDAKAN MAKSIMA

  2. bagi la denda timggi lagi
    orang2 macam ni la yang menyusahkan orang lain dan kerajaan
    ..

Comments are closed.