Keadaan saluran paip pecah di kawasan muka sauk air mentah Titi Kerawang.

BALIK PULAU – Kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang terjejas ekoran dua saluran paip air mentah pecah di muka sauk air Titi Kerawang di sini.

Saluran paip air mentah berukuran 150 milimeter (mm) dan 225 mm itu dilaporkan pecah akibat ditimpa batu susulan cuaca buruk sejak beberapa hari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, saluran air itu menyalurkan air dari muka sauk air mentah ke LRA Sungai Pinang yang terletak kira-kira 500 meter ke hilir.

Kata Jaseni, LRA Sungai Pinang mengeluarkan purata 12.9 juta liter sehari (JLH) air terawat yang sebahagian besarnya dibekalkan kepada pengguna air di kawasan Balik Pulau, berikutan kejadian ini kapasiti pengeluaran LRA Sungai Pinang telah terjejas.

“Saya telah menggerakkan pasukan pembaikan saluran paip kecemasannya untuk membaiki dua saluran paip yang rosak itu bermula hari ini.

“Pasukan berkenaan telah dikerahkan ke lokasi hutan untuk melaksanakan penyelesaian paling rasional dengan pantas dalam menyambungkan semula saluran paip yang pecah.

Pihak PBAPP sedang melakukan kerja-kerja membaiki semula saluran paip yang pecah.

“Mulai hari ini, PBAPP memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembaikan saluran paip ini untuk mengurangkan kesulitan kepada penduduk yang tinggal di Balik Pulau, namun dalam masa sama saya harap semua pihak maklum bahawa kejadian ini disebabkan oleh jatuhan batu akibat cuaca buruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jaseni, PBAPP telah mengaktifkan pelan kontingensi untuk mengepam air terawat tambahan dari rumah-rumah pam Teluk Kumbar dan Teluk Bahang bagi meminimumkan impak kejadian ini terhadap perkhidmatan bekalan air di Balik Pulau.

Jelas beliau, pada masa yang sama, pasukan lori tangki air PBAPP bersiap sedia untuk menghantar air terawat kepada pengguna yang tinggal di kawasan tinggi atau di kawasan hujung saluran paip (EOL).

“Pihak PBAPP akan membaiki saluran paip secepat mungkin dan memulihkan perkhidmatan bekalan air di Balik Pulau.

“Kita juga akan memberi maklumat terkini mengenai kerja-kerja pembaikan paip air mentah kecemasan di muka sauk Titi Kerawang ini,” ujar Jaseni.

Pengguna air yang memerlukan bantuan disaran untuk menghubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04 255 8255. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast