Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia menerima vaksin Covid-19 dos tunggal pertamanya, hari ini apabila 200,000 dos  CanSino tiba dari China, pagi tadi.

Menurut hantaran Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di Twitter, kesemua 200,000 dos vaksin itu adalah berbentuk produk telah siap atau finished product.

Tambah JKJAV lagi, ianya adalah sebahagian daripada 3.5 juta vaksin CanSino yang ditempah Malaysia dan akan dihantar oleh pembekal, CanSino Biologics, China secara berperingkat.

Tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH3-6-1 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 8.43 pagi tadi, vaksin-vaksin berkenaan disambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah.

Pada 15 Jun lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan, Malaysia telah memberikan kebenaran bersyarat terhadap dua jenis vaksin Covid-19 yang hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja.

Selain CanSino, vaksin dos tunggal yang diberi kebenaran bersyarat oleh Malaysia adalah Jansen Covid-19 keluaran Johnson and Johnson.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap jangan pula ada Negeri yang tolak vaksin ini kerana nak dapatkan Pfizer sahaja, yang penting keselamatan rakyat bukan jenis vaksin. Sekarang Malaysia pun tengah usaha untuk cipta vaksin sendiri. Harap semua rakyat Malaysia percaya vaksin keluaran negara sendiri, baru negara boleh maju. Percayalah barangan buatan Malaysia.

Comments are closed.