KUALA LUMPUR – Portal MyAssist MSME yang dibangunkan SME Corp Malaysia (SME Corp) mendapat sambutan menggalakkan dengan akses lebih 50,000 pengunjung serta mencatatkan nilai potensi jualan RM9.7 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rizal Nainy berkata SME Corp akan terus komited memastikan kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh mencabar susulan pandemik COVID-19 ini.

“PKS perlu memanfaatkan perkhidmatan yang ada dalam portal itu bagi meneruskan kelangsungan perniagaan secara norma baharu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

MyAssist MSME dilancarkan pada 30 Jun, 2021 bertujuan membantu PKS mendapatkan khidmat nasihat perniagaan, membuat janji temu dengan kaunselor perniagaan terlatih di samping menyertai sesi pemadanan perniagaaan secara dalam talian.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad berkata portal itu berfungsi sebagai platform khidmat nasihat perniagaan sehenti buat PKS.

Beliau berkata ia bukan sahaja membantu PKS menerima guna pendigitalan malah mendapatkan khidmat nasihat serta peluang perniagaan mengikut norma baharu.

“PKS perlu berani untuk berubah terutama cara berniaga mengikut norma pasca-COVID-19. PKS juga perlu cuba meningkatkan keterlihatan dalam platform dalam talian,” katanya dalam kenyataan yang sama.

SME Corp menjelaskan PKS yang tidak mengikuti peredaran teknologi serta keadaan semasa akan terus ketinggalan dan menghadapi cabaran yang lebih besar disebabkan pasaran yang terhad.

Justeru, pihaknya akan terus menyokong pelan pemulihan kerajaan melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan program pembangunan dan kemudahan, tambah SME Corp.

Pelanggan boleh melayari laman sesawang www.myassist-msme.gov.my untuk maklumat lanjut berkaitan portal MyAssist MSME. – MalaysiaGazette